Khamis, 16 Ogos 2012

Selangor akan rampas tanah jika pembakaran terbuka dilakukan

Oleh Nomy Nozwir
SHAH ALAM, 15 Ogos ― Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri Selangor akan merampas tanah kepada pemilik tanah yang membiarkan pembakaran terbuka di kawasan mereka.
Katanya, tindakan ini bagi memastikan masalah jerebu tidak bertambah serius di Lembah Kelang.
“Baru-baru ini, kita telah mengesan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang dan pihak bomba terpaksa bekerja keras untuk memadamkan kebakaran ini.
“Malangnya kebakaran itu di kawasan tanah gambut dan menyebabkan kesukaran untuk pihak bomba untuk mengawal api yang marak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan itu.
Katanya, musim kering yang berterusan hingga September menyebabkan titik panas semakin banyak di negara ini dan di negara jiran terutamanya Indonesia.
“Di Sumatera sahaja kita dapat mengesan lebih dari 400 titik panas, dan angin dari sana akan bertiup ke arah pantai barat Semenanjung menyebabkan jerebu semakin buruk terutamanya di Lembah Kelang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, mempunyai hak untuk merampas tanah sekiranya pemilik tidak mahu menjaga kawasan tanah mereka.
“Kerajaan mahu memastikan dalam musim kering ini, mereka tidak sewenang-wenangnya memburukkan keadaan,” kata Wong (gambar) lagi.
Kerajaan negeri juga menasihatkan kepada orang ramai supaya kurangkan aktiviti luar ketika jerebu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan